February 29, 2012
Anugerah Terulung
Manusia tidak dapat lari daripada cinta. Ia merupakan anugerah yang
tiada tolok bandingannya. Semua orang mahu menyintai dan dicintai. Cinta
yang datang daripada hati yang tulus suci memberikan kedamaian serta
ketenangan. Cinta kepada Tuhan membawa kepada cinta kepada diri,
keluarga dan kehidupan sekeliling.
Menurut Datuk Dr Fadzilah Kamsah, Pengarah Excel Training Centre,
manusia dicipta dengan unsur fizikal, mental, intelek, rohani dan
sosial. Manusia mempunyai emosi yakni perasaan dan kerohanian yang
membuatkan mereka tidak dapat hidup tanpa cinta. Tiada sesiapa pun boleh
menafikan hakikat ini.
Tambahnya lagi sejahat-jahat manusia sekalipun nun jauh di sudut hatinya
akan timbul suatu perasaan yang disebut cinta. Bukan itu sahaja hatta
sebuas-buas binatang sekalipun mempunyai perasaan cinta serta kasih
sayang terhadap anak-anaknya dan pasangan.
Cinta teragung merupakan cinta yang suci kepada Allah sebagai Pencipta
sekalian alam. Cinta ini tiada tolok bandingannya malah tidak dapat
dibeza atau dibandingkan dengan cinta terhadap lain,
sekiranya manusia cinta dan sayangkan dirinya, mereka
perlulah seimbangkan lima aspek iaitu:
*1. Fizikal*
Dari segi fizikal mereka hendaklah menjaga luaran seperti mandi
bersih-bersih, berpakaian yang cantik dan sesuai dengan diri. Menjaga
makan dan minum seperti kurang makan makanan berminyak atau
berkolesterol tinggi, cukup rehat dan tidur.
*2. Intelektual*
Manusia yang cinta pada diri akan merangsangkan keintelektualannya. Dia
akan berfikir dengan cara yang terbaik serta berfikir perkara-perkara
yang positif. Mereka juga tidak akan mensabotaj diri dengan bercakap
kotor dan membuat gurau senda yang memperbodohkan diri. Mereka juga
tidak akan bercakap sia-sia kerana semuanya itu merugikan diri mereka
dan orang lain.
*3. Mental*
Dari segi mental pula, mereka yang sayangkan diri akan belajar untuk
mempertingkatkan ilmu yang ada. Mereka juga akan rajin bertanya tentang
sesuatu perkara yang tidak diketahui atau kurang difahami. Sering
menghadiri majlis-majlis ilmu untuk menambahkan ilmu di dada.
*4. Rohani*
Untuk mengisi ruang kerohanian mereka akan mengerjakan segala tuntutan
yang dapat memberikan ketenangan dan keharmonian. Manusia perlu
mengerjakan tuntutan agama seperti sembahyang lima waktu.
*5. Sosial*
Interaksi sosial juga penting bagi sesiapa sahaja yang cinta dan
sayangkan diri
mereka. Mereka perlu mempunyai hubungan sosial yang baik dengan
masyarakat sekeliling. Misalnya dengan jiran, rakan-rakan, ibu bapa
serta saudara.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment