Pages

September 03, 2013

Cinta Lagi....

CINTA. Istilah ini amat popular. Ia mudah dikata tetapi sukar dimengerti. Tatkala melafaz istilah ini, ia mencetuskan pelbagai makna dan perasaan buat seseorang. Ada getaran di suara apabila menyebutnya, ada gambaran indah di layar minda apabila mengingatinya dan ada perasaan berbunga di hati tatkala menghayatinya.


Cinta boleh menjadi istilah yang paling disukai. Atau paling dibenci, bergantung kepada saat bahagia atau deritanya seseorang dengan cinta. Namun ia juga sering disalah anggap kerana cinta biasanya dikaitkan dengan cinta lelaki dan perempuan yang mengasyikkan. Dalam ertikata lain, cinta di alam remaja yang disebut sebagai ‘cintan-cintun’.

Tetapi, apabila ruang lingkup cinta itu diperluaskan, kita akan dapati cinta itu mencakupi cinta anak kepada ibubapanya, kepada isteri atau suami, kepada sahabat, alam, kampung, negeri, negara dan yang paling mutlak dan hak ialah cinta kepada al-Khaliq iaitu ALLAH SWT.

Dalam pada itu, oleh kerana mudahnya istilah cinta ini disebut-sebut, ia seolah-olah sesuatu yang begitu mudah dicurahkan. Bahkan, adakalanya ia menjadi begitu murah. Kerana apa? Kerana pada pelbagai ketika dan keadaan, kita sebenarnya tidak menyintai apa atau siapa yang kita cinta. Ia berlaku apabila kita tidak mengerti perasaan kita sendiri akibat tidak menyelami sanubari.

Ini terjadi apabila kita menyintai kerana terikut-ikut dengan dunia cinta orang lain. Cinta ikut-ikutan ialah apabila kita turut bercinta semata-mata kerana kita lihat orang lain bercinta. Pendek kata kerana kita tidak mahu ketinggalan. Kita menyukai sesuatu kerana lihat orang lain suka. Kalau orang lain ada kekasih, kita pun mahu kekasih sedangkan kita belum bersedia untuk menyintai.

Kalau orang lain menggilai gajet komunikasi seperti Blackberry, kita pun turut suka walaupun kita hanya gunakan alat-alat itu untuk kegunaan asas seperti menelefon dan mengirim teks sahaja. Bila kita tidak gunakan sepenuhnya fungsi e-mel, PDA, internet, musik dan video dalam Blackberry seperti mereka, itu hanya cinta ikut-ikutan. Kalau kita katakan yang kita cinta pada alam tetapi hanya dengan menanam sebatang pokok sebagai simbolik, itu belum lagi dinamakan cinta. Cinta ikut-ikutan akan cepat pudar dan membosankan diri kerana ia hanyalah kesukaan luaran. Esok, lusa, kita akan mencari cinta yang lain.

Cinta apabila ‘ada’ juga bukan cinta luhur kerana ia ada kepentingan. Orang kata, ada wang sayang abang, tiada wang abang melayang. Ertinya, cinta itu hanya datang apabila ia memenuhi kehendak kita. Andainya cinta kita tidak dibalas setimpal dengan apa yang diberi, maka ia mudah diketepikan. Cinta pada pasukan bolasepak Malaysia selagi mereka menang tetapi membencinya sekiranya mereka tewas dan melukakan hati kita, itu belum cinta namanya.

Ada kalanya, kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menyintai, tapi sebenarnya cinta itu sudah lemau. Oleh kerana ingin menjaga prinsip dan nilai kesetiaan serta tanggungjawab, maka kita memaksa diri. Tanpa disedari juga mungkin kita berlakon suka. Kita boleh temui cinta suami dan isteri yang sudah rutin. Di meja makan restoran, si isteri ber SMS dan si suami membaca akhbar. Tanpa senyum-senyuman, tanpa lirik melirik, mereka menghabiskan makan malam dan keluar dari restoran dan melangkah beriringan sedepa jauhnya. Kononnya, mereka sudah makan malam bersama.

Memberi cinta secara ikut-ikutan, cinta tatkala ada dan cinta hingga memaksa diri adalah cinta yang tempang. Ia tidak menyeluruh. Sebaliknya, memberi cinta dan menyintai secara tulus ialah apabila kita menyukai sesuatu kerana perasaan kita sudah jatuh kepadanya. Memberi cinta bukan kerana baiknya, malah menerima keburukannya sebagai satu pakej.

Kita masih boleh terus menyintai, meskipun ia tidak akan dibalas. Umpama seorang pelukis dengan lukisannya; dia tetap akan menyintai lukisannya meskipun lukisannya tidak boleh membalas cintanya. Memberi cinta yang luhur akan terus kental dan tidak berpaling arah meskipun yang lain datang menguja. Bagai cinta ibu pada si anak, walaupun apa pun cacat celanya anak, si ibu tetap mekar dengan cintanya.

    Untuk kukuh dan kekal memberi cinta luhur, kita bukan sahaja perlu menyintai sesuatu itu pada pandangan mata, tetapi menyintai, mengkaji dan memahami asal usul, kebaikan, keburukan, malah menerima dia atau ia pada hari esoknya.

Tips...

Cara Untuk Melupakan Kekasih Lama

Bukan mudah untuk kita melupakan kekasih lama. Kekasih yang telah kita kenal sejak sekian lama, tiba-tiba pergi begitu sahaja. Perhubungan yang dibina selama ini, putus seperti tidak ada apa yang pernah berlaku.

Walaupun hidup mesti diteruskan, tetapi hati dan fikiran masih tetap teringat pada si dia. Orang yang pernah kita sayang, orang yang pernah kita gaduh, orang yang pernah kita mengusik dan bermanja. Bukan mudah untuk melupakan semuanya, kan?

saya kongsikan 12 cara bagaimana untuk melupakan kekasih lama.

1. Senaraikan perkara-perkara yang anda ingin lakukan selama ini yang anda tidak pernah lakukan: Selama anda berkenalan dengan kekasih lama, anda mempunyai banyak perkara yang ingin anda lakukan. Tetapi disebabkan kekangan masa dan komitmen dalam perhubungan membuatkan anda tidak berkesempatan untuk melakukannya. Dengan menyenaraikan perkara-perkara yang anda ingin lakukan ini akan membuatkan anda dapat melihat betapa banyaknya perkara lain yang boleh anda lakukan selain mengingati kekasih lama yang tidak lagi bersama anda.

2. Ceriakan diri anda: Memang sukar untuk melalui hari-hari tanpa si dia di sisi. Diri terasa sepi, sunyi tanpa teman. Tetapi hidup mesti diteruskan. Walaupun pelbagai dugaan yang dilalui, anda perlu kuat untuk meneruskan kehidupan anda. Mulakan sesuatu yang baru. Sekurang-kurangnya anda akan rasa gembira kerana mempunyai pengalaman baru.

3. Jumpa dengan kawan-kawan lama: Atau berjumpa dengan kawan-kawan baru anda. Salah satu cara untuk anda berkenalan dengan kawan baru adalah dengan menyertai persatuan atau kelab yang sama minat dengan anda. Mungkin anda minat pada kucing. Jadi apa kata anda cari fanpage peminat-peminat kucing di Facebook seperti Dunia Kucing contohnya, dan berkenalanlah dengan peminat-peminat kucing yang lain.

4. Brainwash dan gunakan akal logik untuk menghilangkan perasaan sedih:Jika pasangan anda sebelum ini menyusahkan hidup anda, jadi mudah untuk anda melupakannya. Apa yang perlu anda lakukan adalah imbas kembali benda-benda negatif yang menyakitkan hati yang pernah si dia lakukan. Itu akan membuatkan anda semakin menyampah untuk ingat pada kekasih lama itu. Tetapi, jika si dia merupakan seorang yang baik, mungkin sukar sedikit untuk anda melupakannya. Anda perlu gembira kerana anda diberikan peluang untuk berjumpa dan berkenalan dengan seorang kekasih yang baik hati. Setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmahnya. Mungkin kebaikan yang anda terima dari si dia selama ini adalah untuk menjadikan anda lebih kuat untuk perhubungan anda yang akan datang.

5. Hargai dirinya: Walau apapun yang pernah berlaku antara anda dengan si dia, maafkanlah segala kesilapan dan kesalahannya. Jika anda berani, berjumpa dan berdepan dengan dia. Nyatakan kepadanya yang anda selama ini sangat terasa hati ketika bersama dengannya. Tetapi, katakan juga yang anda telah pun memaafkan segala kesilapan yang telah si dia lakukan. Ini akan membuatkan diri anda rasa lebih lega kerana telah memaafkan dan membebaskan perasaan dendam yang tersimpan dalam diri anda selama ini.

7. Pandanglah jauh ke depan: Ingatlah, kehidupan ini adalah untuk memberi dan menerima. Tidak semestinya dengan bercinta sahaja akan membuatkan diri anda ceria. Ada banyak lagi perkara lain yang membolehkan anda untuk pergi jauh ke depan. Jadikan segala apa yang berlaku pada diri anda selama ini sebagai pengajaran yang bermakna dalam diri anda. Secara tidak lansung, perasaan sedih dan kerisauan anda akan hilang dengan sendirinya.

8. Kuatkan semangat: Jangan mudah untuk putus asa dan berhenti berharap. Anda perlu kuatkan semangat anda. Walaupun si dia telah pergi meninggalkan anda, tetapi anda sebenarnya masih mempunyai perkara lain yang boleh menggembirakan hati anda. Kembalilah semula mengingati Allah Yang Maha Esa. Mungkin selama ini anda lalai dan lupa kepada siapa yang patut anda curahkan perasaan dan derita. Kembalilah kepadaNya, dan bersyukurlah kerana Allah masih menyanyangi anda dengan memberikan ujian-ujian seperti ini agar anda tidak terpesong jauh dariNya.

9. Elakkan dari bercerita tentang kekasih lama anda: Benda yang berlalu, usahlah dikenang. Yang pergi, biarkan ia berlalu pergi. Janganlah anda asyik berceritakan tentang kekasih lama anda kepada rakan-rakan anda. Semakin banyak anda ceritakan kisah-kisah lama dengan rakan-rakan, semakin meluat dan rimas mereka rasa. Jangan pula sampai rakan-rakan meninggalkan anda pula. Apabila anda keseorangan, semakin sukarlah untuk anda melupakan pasangan anda itu nanti.

10. Padamkan kesemuanya: Ya, padamkan segala mesej-mesej SMS, panggilan telefon, atau no phone si dia dari handphone anda. Ianya mungkin pedih, mungkin sukar, tetapi itu adalah kebaikan untuk anda bagi melupakannya. Lagipun, anda tidak memerlukannya lagi, kan? Tidak guna untuk anda menyimpan segala kenangan itu semua dalam handphone dan laptop anda. Buangkan saja.

11. Elakkan dari bersendirian: Apabila anda bersendirian, anda akan cenderung untuk mengingat semula kekasih lama anda. Untuk itu, adalah lebih baik jika anda melakukan perkara-perkara lain atau berjumpalah dengan rakan-rakan anda. Jangan duduk bersendirian dan memasang lagu-lagu romantik yang biasa anda berdua dengar bersama-sama pada suatu ketika dahulu. Saya tahu, setiap pasangan pasti mempunyai “lagu tema” mereka masing-masing. Jika anda ingin melupakan si dia sepenuhnya, elakkan dari mendengar lagu tema anda berdua.







12. Buangkan segala benda yang membuatkan anda ingat pada si dia: Ini mungkin satu tindakan yang drastik, tetapi ianya satu cara yang paling terbaik untuk anda melupakannya. Buangkan segala benda yang membuatkan anda ingat pada kekasih lama. Jika si dia pernah berikan anda jam tangan, teddy bear, baju, atau apa sahaja, buangkan saja ke dalam tong sampah. Jika anda masih ada perasaan belas kasihan, pulangkan semula barang-barang itu kepada si dia. Anda tidak perlukannya lagi. Anda ingin melupakannya. Jadi buangkan sahaja benda-benda tersebut yang tidak lagi bermakna dalam hidup anda.

    Ingatlah, walau apapun yang berlaku dalam hidup kita, pasti ada hikmahnya. Cuma kita sahaja yang belum menjumpai dan merasai kebaikan ke atas apa yang telah berlaku pada diri kita.

    Hidup tidak semstinya sentiasa indah. Kadang-kala kita di atas, kadang-kala kita di bawah.

    Memang sukar untuk melupakan orang yang kita sayang, tetapi demi diri kebaikan diri sendiri jugalah kita perlu berusaha melupakan kekasih lama.

Saya doakan agar anda tabah, dan kuat menghadapi cabaran liku-liku kehidupan dalam percintaan.

CANTIK......adalah....






Fitrah manusia menyukai kecantikan dan inginkan kecantikan. Cantik itu adalah anugerah. Namun, percaya atau tidak, cantik itu juga sebenarnya merupakan satu ujian. Tetapi perlu diingat bahawa cantik itu adalah amat subjektif.

Barangkali ada yang memiliki wajah cerah dan licin tetapi tidak nampak seri, barangkali ada pula yang gelap dan biasa sahaja tetapi begitu manis dipandang.

Cahaya iman mungkin?

Berbalik kepada tajuk. Cantik adalah ujian. Mengapa begitu?

Cantik sebagai anugerah

    1. Meningkatkan rasa syukur

    2. Keyakinan diri tinggi

    3. Sedap mata memandang

    4. Maintanance rendah (sepatutnya)

    5. Apabila dikecapi apabila sebelumnya biasa-biasa

Si cantik yang mempunyai wajah licin bersih, pastinya akan bersyukur kerana tidak perlu berat kepala memikirkan bagaimana untuk mengatasi masalah kulit sekaligus mengurangkan kos perawatan muka dan sebagainya. Begitu juga akan membolehkan si cantik yakin melangkah.

Dan paling boleh dianggap sebagai anugerah sekiranya mereka yang boleh dianggap biasa sahaja sebelum ini, kini dianugerahkan dengan rupa paras menarik. Pasti ramai yang mula tertarik.

Cantik sebagai ujian

1. Dijadikan bahan komersial

2. Disayangi hanya kerana rupa

3. Menimbulkan riak dalam hati

4. Apabila nikmat cantik ditarik sekelip mata

Si cantik biasanya menjadi pilihan untuk melariskan pelbagai produk di pasaran. Tidak kira bagi pengiklanan produk kecantikan, produk kesihatan hatta produk deodorant lelaki pun menggunakan si cantik sebagai pelaris, tidak semena-mena sahaja deodorant itu perlu diedarkan oleh si cantik sebelum sampai ke tangan si lelaki pemakainya.

Pakaian? Peluk cium usah kira, penambah saham dosa.

Si cantik juga seringkali menjadi mangsa jerat cinta si jejaka yang mementingkan rupa semata-mata. Apabila cantik itu hilang, maka hilanglah cinta Sang Pencinta juga.

Bukankah itu juga satu ujian? Lebih baiklah mereka yang sederhana paras rupa, yang diyakini disayangi bukan kerana rupa semata-mata.

Riak pula?

Seringkali wujud rasa iri hati di kalangan sesetengah individu yang berasa kurang senang dengan kecantikan yang dimiliki orang lain, dan seringkali juga wujud segelintir si cantik rupa yang memandang rendah pada yang lain hanya kerana mereka memiliki aset wajah menarik.

Apa pun, ujian terbesar ialah apabila kecantikan itu ditarik dan hilang sekelip mata. Hilanglah keyakinan diri, hilanglah semangat, dan tidak mustahil hilanglah sebahagian besar mereka yang seringkali menjadi pendamping selama ini.

Kesimpulannya, bersyukurlah dengan apa yang ada kerana semuanya tidak kekal selamanya.