Pages

March 05, 2012

Warkah Cinta

Sesungguhnya aku amat serba salah untuk membuat keputusan bagaimana

sebaiknya untuk meluahkan cetusan rasa di hati ini kepadamu.

Apakah aku harus menulis warkah ini melalui ruangan ini atau berdepan

saja dengan dirimu sendiri. Tetapi apabila aku fikirkan dalam-dalam

belum tentu aku memiliki kekuatan untuk berbicara empat mata denganmu

walaupun setiap hari kita bertegur sapa.

Seandainya coretan ini menyinggung perasaanmu, sejuta kemaafan

kupohonkan... perasaan cinta itu adalah paling halus untuk disakiti.

Hingga saat ini, aku masih tidak mengerti mengapa aku terlalu baik

terhadapmu...ahh, sungguh pelik mengapa aku terlalu risau kiranya

berbuat salah terhadapmu atau menyinggung perasaanmu. Mengapa terjadi

demikian...entahlah aku sendiri bingung memikirkannya.

Kusingkap kembali detik bersama di mana mulanya kita menjadi teman rapat...

Aku masih tidak dapat melupakan saat indah itu, kita sering mengulang

kaji pelajaran di tempat yang sama.

Semua ini berlaku secara kebetulan tanpa dirancang... disusuli pula

dengan sikapku tiba-tiba mengambil berat akan dirimu yang dirundung

gelisah lantaran masalah yang menerjah.

I.K.H.L.A.S... enam huruf ini menjadi peganganku dalam membantumu. Tidak

pernah kuharap balasan namun ada pihak yang mempertikaikan keikhlasanku,

kata mereka ada udang di sebalik batu. Aku berikan kebebasan kepada

mereka untuk bersuara sepuas-puasnya. Aku sedar mereka tidak senang hati

melihat kita berkawan rapat. Tetapi ingatlah yang kebenaran akan

terlahir jua akhirnya.

Aku sendiri sering bertanyakan pada diri... mengapa aku terlalu baik

terhadapmu... Aku sentiasa mengingatkan diriku buat baik berpada-pada.

Aku akui aku sendiri takut dengan kebaikan yang telah aku lakukan

terhadapmu.

Engkau juga pernah bertanyakan soalan yang sama yang sering aku tujukan

kepada diriku sendiri... namun tiada jawapan tetapi percayalah

keikhlasan mengatasi segalanya. Itulah kata pasti hatiku.

Tanpa kusedari, jauh di sudut hatiku bermula daripada perkataan take

care menjadi sayang. Engkau kuanggap seperti keluargaku sendiri. Sayang

atas nama sebuah persaudaraan...rakan seperjuangan, tidak lebih dari itu.

Setiap solatku, aku berdoa agar perasaan sayangku ini tidak melampaui

cintaku pada-Nya... Tapi aku semakin takut dengan kehadiran perasaan ini

adakah ini satu anugerah atau sekadar menguji imanku?

Aku gembira merentasi daerah persahabatan ini bersamamu. Aku tidak

sanggup melihat kau diusung derita lagi..Cukuplah derita yang kutanggung

kerana kau juga pernah merasakan peritnya.

Aku rela berkorban demi melihat kau gembira dalam meneruskan perjuangan

suci yang masih jauh... Serikanlah bunga harapan bonda. Aku di sini

sentiasa berdoa agar kita diberikan kejayaan cemerlang dalam bidang yang

kita ceburi demi untuk keluarga, agama, negara, dunia dan akhirat.

Temanku... apa yang aku pinta hanya keikhlasan dan kejujuran dirimu

untuk meneruskan persahabatan ini. Hadapilah permasalahan yang mendatang

dengan dada yang lapang dan fikiran yang matang.

Kasih dan SayangMU

Dalam sehari semalam kita kerap menyebut perkataan 'Bismillah'. Semua di

antara kita sudah tahu apa maknanya, iaitu 'Dengan nama Allah Yang Maha

Pengasih lagi Maha Penyayang'.

Begitulah makna ayat al-Quran yang paling popular. Begitulah juga

hebatnya Allah mengasihi makhluk yang dicipta-Nya.

Malah, golongan yang mengingkari-Nya pun masih dibenarkan tinggal di

bumi-Nya. Mereka yang derhaka kepada-Nya pun masih diberi kesempatan

menghirup udara-Nya, bahkan kadangkala rezeki makin bertambah.

Walaupun begitu, sudah banyak kita mendapat nikmat daripada-Nya tetapi

jarang memberikan waktu untuk menghitungnya jauh sekali untuk membalasnya.

Setiap hari rasanya kita tidak terlepas meluangkan masa untuk mengambil

sarapan kerana menganggap ia sangat penting.

Tetapi kenapa kita tidak sempat menggunakan beberapa minit untuk bersama

memikirkan sifat ar-Rahman dan ar-Rahim Allah, sebagai vitamin sebelum

bekerja atau menunaikan tugas harian?

Cuba tanya hati sanubari kita, apakah nikmat yang sudah kita dapat

sepanjang hari semalam?

Kita boleh tidur dengan nyenyak, rumah kita selamat daripada pencuri,

anak ceria, kita sendiri bahagia dan sebagainya. Tetapi pernahkah kita

rasakan itu adalah rahmat Allah atau dalam kata lain pernahkah kita

bersyukur?

Itulah tandanya kasih sayang Allah dan selepas kita mendapat kasih

sayang Allah pernahkah kita tebar dan sebarkan itu semua kepada makhluk

Allah yang lain?

Sudahkah kita sayangi ibu bapa kita sebagaimana kasih sayang yang kita

dapat daripada Allah itu? Kepada anak kita, teman dan rakan sejiran,

teman dan rakan sepejabat kita, bagaimana?

Sebenarnya antara tugas kita di bumi ini untuk berkasih sayang tanpa

memandang rasa, warna kulit, bangsa dan agama, parti politik bahkan juga

kepada binatang, tumbuhan dan alam sekitar.

Dalam satu hadis Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya: "Orang yang

bersifat pengasih akan dikasihi Allah Yang Maha Pengasih. Hendaklah kamu

mengasihi makhluk di bumi, nanti kamu akan dikasihi penduduk langit."

Kepada mereka yang derhaka kita patut melihat dengan penuh kasihan belas

sebab kesalahannya adalah kesusahan baginya.

Mereka perlu didekati untuk ditegur dengan baik bukannya kasar supaya

penderhaka itu diselamatkan daripada murka Allah.

Golongan yang pengasih bersifat seperti di bawah ini:

# Di mana ada benci, biar kita yang membalas dengan sayang.

# Di mana ada hati yang terluka, di situ kita yang menjadi penghiburnya.

# Di mana ada keraguan, di situ kita yang meyakinkan.

# Di mana ada putus asa, di situ kita menebarkan harapan.

# Di mana ada kesedihan, di situ kitalah yang berkongsi bahagia.

# Di mana ada kegelapan, di situlah kita yang membawa cahaya.

Selagi kita mahu membantu dan mengasihi kita, selagi itu kita mendapat

'geran' kekayaan daripada Allah yang Maha Mengasihi.



Tenang Seketika....