Pages

May 17, 2013

Penawar Mujarab Untuk Tenteramkan Hati

Seseorang yang ‘putus cinta’ biasanya akan menghadapi tekanan emosi yang mendalam. Ada yang termenung dan terkenang si dia yang telah pergi. Ada pula yang menangis kesedihan di tengah malam sunyi.
Hati pasti tidak akan tenteram, ingatan silam pasti akan kembali, kesedihan atau kemarahan akan datang membayangi. Sesetengah orang mengambil masa bertahun-tahun untuk melupakan kisah cinta bersama si dia, ada pula mungkin sekadar sebulan dua.
Yang pasti, hati akan resah gelisah. Pelajaran seorang pelajar akan mundur, produktiviti seorang pekerja akan menurun. Seluruh aktiviti kehidupan akan terganggu. Namun yang paling malang, apabila hati kecil mula mempersoal ketentuan Tuhan kerana tidak dapat menerima kenyataan perpisahan. Semua ini akan terus menghantui diri selagi hati masih tidak tenteram.
Ada satu penawar yang mujarab untuk mententeramkan hati. Firman Allah di dalam surah Ar-R’ad ayat 28, “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.”

Zikrullah bermaksud mengingati Allah.  
Membaca Al-Quran juga termasuk zikrullah kerana salah satu nama bagi Al-Quran adalah Adz-Zikr. Dengan membaca Al-Quran dan menghayati maksud-maksud ayat, seseorang itu sedang berzikir kepada Allah.
Selain membaca Al-Quran, seseorang itu juga boleh mengucapkan tasbih, tahmid, tahlil atau takbir. Zikir-zikir ini lebih ringkas dan mudah dilakukan secara berterusan di kebanyakkan keadaan dan tempat, sama ada secara lisan atau di dalam hati. Perbanyakkan zikir, mudah-mudahan hati menjadi tenteram, InsyaAllah.

No comments: